Sabtu, Mei 29, 2010

LIFE LINE 4 GAZA..

Assalamualaikum wbkt.



Terdapat beberapa soalan asas yang sering ditanya berhubung dengan penyertaan NGO Malaysia dalam Misi Flotilla Life Line for Gaza (LL4G), misi kemanusiaan ke Gaza. Berikut dicoretkan beberapa noktah yang insyAllah dapat memberi sedikit gambaran latarbelakang Misi LL4G ini.



2. Misi Kemanusiaan LL4G adalah inisiatif secara formal ke empat yang pernah dilakukan untuk membantu saudara-saudara kita di Gaza dalam menghadapi cengkaman ganas rejim zionis Yahudi. Misi-Misi ini diterajui oleh NGO-NGO dari seluruh dunia bagi memberi bantuan asas yang diperlukan oleh penduduk Gaza yang telah terkepung semenjak lebih 3 tahun yang lalu. Misi LL4G ini adalah misi terbesar melalui laut yang pernah diusahakan dan disertai oleh NGO-NGO dari lebih 50 negara, dari pelbagai latarbelakang agama dan bangsa. Peneraju dan pengendali utama Misi LL4G ini adalah IHH (Insan Hak ve Hurriyetleri Insani Yardim Vakfi), sebuah NGO terkemuka Turki dengan mendapat sokongan penuh Kerajaan Turki.



3. Misi LL4G melibatkan 9 buah kapal dengan 3 daripadanya dari Turki. Tiga buah kapal dari Turki ini akan belayar daripada pelabuhan Antalya menuju ke Laut Mediterranean di mana mereka akan bergabung dengan 6 buah lagi kapal di satu lokasi yang telah ditetapkan di sekitar perairan Cyprus, sebelum memulakan perjalanan menerobos sekatan tentera laut Israel menuju ke Gaza. Enam buah kapal berkenaan akan membawa bahan bantuan, termasuk bahan bangunan untuk membina semula bangunan sekolah, hospital dan perumahan yang dihancur-leburkan oleh Israel selama 23 hari serangannya di penghujung 2008 dan awal 2009.



4. Penglibatan NGO Malaysia dalam Misi LL4G ini terbahagi kepada dua iaitu (1) Gabungan lebih 50 NGO dari seluruh Malaysia di bawah kendalian IHH, dan (2) NGO di bawah kendalian Free Gaza Movement di mana Perdana Global Peace Malaysia adalah salah satu NGO berkenaan.



5. Bagi penyertaan di bawah kendalian IHH, setiap peserta perlu mengemukakan permohonan melalui koordinator negara masing-masing di mana HALUAN Palestin adalah koordinator bagi Malaysia. Pemilihan peserta perlu melalui saringan kesesuaian termasuk aspek keselamatan. Difahamkan terdapat kuota yang diperuntukkan bagi sesebuah negara atau organisasi bagi tujuan ini. Media dan penyertaan NGO mempunyai kuota berasingan.



6. Dalam Misi LL4G di bawah kendalian IHH ini, Malaysia diwakili oleh 6 NGO utama iaitu HALUAN, JIM, PACE, AQSA SYARIF, Yayasan Amal dan Muslim Care. Manakala dari segi bilangan peserta, HALUAN diwakili oleh 3 orang, JIM seorang yang juga mewakili PACE dan AQSA SYARIF, Yayasan Amal 1 orang, dan Muslim Care 1 orang. Selain itu, team media yang besama Misi LL4G Malaysia kendalian IHH adalah terdiri dari 5 orang iaitu 3 orang dari ASTRO AWANI dan 2 orang mewakili media dalaman HALUAN dan Akhbar Sinar. Dalam team media ini, 2 orang daripada mereka adalah aktivis HALUAN manakala seorang aktivis QASA SYARIF.



7. Memandangkan Misi LL4G adalah misi kemanusiaan yang melibatkan penyaluran bantuan berbentuk material dan juga projek, sumbangan kewangan dari setiap peserta NGO adalah elemen penting dalam menetukan penyertaan dalam misi ini. Dalam hubungan ini JIM telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM200,000 melalui IHH untuk membeli pelbagai barangan dan peralatan yang diperlukan, dan seterusnya membawanya ke Gaza melalui Misi LL4G ini. Di samping itu, kutipan yang terkumpul melalui kempen intensif 48 jam yang berjumlah kira-kira RM200,000 juga insyaAllah akan disampaikan kepada sasaran-sasaran yang ditetapkan.



8. Media memainkan peranan penting dalam menjayakan Misi Lifeline 4 Gaza ini. Oleh itu setiap kumpulan akan berusaha untuk mendapatkan penyertaan media. Pada awalnya Misi LL4G di bawah kendalian IHH bercadang untuk membawa TV3 dalam kumpulan ini, namun di saat akhir pihak TV3 telah menarik diri dan difahamkan akan bersama kumpulan Free Gaza Movement. Usaha utuk mendapatkan khidmat Bernama TV juga mengalami kegagalan. Dengan inisiatif yang dijalankan oleh AQSA SYARIF, team LL4G ini akhirnya disertai oleh ASTRO AWANI. AQSA SYARIF adalah penaja utama dalam membawa ASTRO AWANI dalam Misi LL4G ini.



9. Semua peserta Misi LL4G di bawah kendalian IHH akan belayar di atas kapal Mavi Marmara, sebuah kapal penumpang yang boleh memuatkan seramai 1,080 penumpang. Namun bagi tujuan pelayaran ini, Mavi Marmara hanya akan membawa kira-kira 700 penumpang sahaja. Mavi Marmara yang telah berlepas dari Istanbul pada 24 Mei 2010 dalam satu majlis yang gilang gemilang kini telah berlabuh di Pelabuhan Antalya, Selatan Turki dan akan mengambil peserta misi sebelum berlepas ke Gaza. Sebagaimana yang kita sedia maklum, pelepasan ke Gaza tertangguh untuk beberapa hari disebabkan oleh kelewatan pelepasan kapal dari Greece. Maklumat terkini membayangkan pelayaran ke Gaza insyaAllah akan berlepas pada 27 Mei 2010 selepas Zohor.



Selamat Aliman

Ahli Misi LL4G mewakili JIM/PACE/AQSA SYARIF



Antalya, Turki

26 Mei 2010

0 ulasan:

Design by Abdul Munir
Visit Original Post Tas Murah Template