Jumaat, Januari 09, 2009

MAHASISWA BOLEH SERTAI PROTES ISRAEL

KUALA LUMPUR 8 Jan. - Pelajar universiti di negara ini dibenar menyertai mana-mana demontrasi membantah tindakan kejam Israel menyerang Palestin manakala pihak universiti pula boleh menganjurkan demontrasi bantahan itu, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Katanya kementerian tidak mempunyai sebarang halangan kepada pelajar dan universiti untuk membuat bantahan seperti itu berikutan pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang diluluskan Parlimen bulan lepas, yang membenarkan pelajar bersekutu dengan atau menjadi anggota sesuatu pertubuhan, persatuan atau organisasi sama ada dalam atau luar negara.

“Pindaan kepada AUKU membenarkan pelajar untuk bergiat dalam aktiviti-aktiviti sebegini rupa, maka tidak ada halangan untuk mereka menyatakan sikap dan pendirian menyertai usaha yang dilakukan.

“Saya percaya dengan kematangan pelajar dan mereka boleh menggunakan kebijaksanaan sendiri (untuk menentukan pendirian mereka),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ’Malaysia Future Leadership’ anjuran CIMB Group and The Wall Street Journal Asia di Universiti Malaya di sini hari ini. - BERNAMA


......................

SELAIN ITU,, BOLEH JUGA DIRUJUK PADA MUKA SURAT 4 AKHBAR BERITA HARIAN YANG BERTARIKH 9 JANUARI 2009...

MUNGKIN INI DAPAT MEMBANTU MENAIKKAN SEMANGAT PARA MAHASISWA DALAM MEMPERJUANGKAN ISU PALESTIN...

..........................

Perhimpunan aman besar-besaran bantah kekejaman Yahudi di Palestin

KUALA LUMPUR: Pelajar universiti di negara ini dibenarkan menyertai perhimpunan aman yang dirancang bagi membantah tindakan kejam Israel terhadap Palestin, manakala pihak universiti pula boleh menganjurkan bantahan seumpama itu.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kementerian tidak mempunyai halangan untuk pelajar dan universiti menyertai bantahan itu, selaras dengan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang diluluskan Parlimen bulan lalu.

"Rakyat pelbagai lapisan dapat bersatu melahirkan pendirian kita mengenai keganasan dan saya percaya kita tidak dapat menerima tindakan yang menyebabkan kematian, kerosakan serta kesengsaraan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Kepimpinan Masa Depan Malaysia di Universiti Malaya (UM) di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada pelajar IPTA boleh menyertai gerakan besar-besaran bagi menunjukkan bantahan terhadap pencabulan dan keganasan Israel di Semenanjung Gaza yang akan diadakan Pemuda Umno.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, semalam dilaporkan berkata, gerakan massa secara besar-besaran oleh setiap lapisan masyarakat Malaysia melalui pertubuhan bukan kerajaan itu sudah diambil maklum dan dipersetujui oleh Kabinet.

Sementara itu, Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran ketika bercakap kepada pemberita di Putrajaya, semalam berkata, pihaknya akan menggembleng lima juta pelajar dan lebih 300,000 guru dari sekolah di seluruh negara bagi menyertai gerakan besar-besaran itu.

Sementara itu, semua pihak tanpa mengira parti, kaum dan agama, termasuk NGO turut menyatakan sokongan terhadap gerakan itu dan sanggup untuk menyertai gerakan menyuarakan bantahan rakyat terhadap rejim Zionis.

Pengerusi Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, ketika dihubungi berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Putera MCA dan MIC dalam waktu terdekat ini bagi mengambil langkah yang perlu untuk menyelaraskan gerakan itu.

Ketua Penerangan Pas, Mahfuz Omar berkata, parti itu akan mengetepikan sebarang sentimen politik dan sedia menyertai gerakan iti kerana membabitkan isu berkaitan kemanusiaan sejagat, khususnya kepentingan penduduk Palestin.

0 ulasan:

Design by Abdul Munir
Visit Original Post Tas Murah Template